fb fb fb fb fb

Houthi sasar kapal Groton di Teluk Aden

Yahya Saree/AFP

DUBAI, 1 September- Kumpulan Houthi di Yaman hari ini memaklumkan pihaknya telah menyasarkan sebuah kapal dagang di Teluk Aden, manakala pasukan tentera laut multinasional melaporkan dua peluru berpandu meletup berhampiran sebuah kapal yang berdaftar di bawah bendera Liberia.

"Angkatan Bersenjata Yaman telah melaksanakan operasi ketenteraan yang menyasarkan kapal (GROTON) di Teluk Aden," kata jurucakap Houthi, Yahya Saree, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Yahya berkata kapal tersebut telah diserang dan ia merupakan kali kedua serangan berlaku selepas insiden serupa pada 3 Ogos lepas.

Semalam Pusat Maklumat Maritim Bersama (JMIC) dikendalikan oleh gabungan tentera laut Barat melaporkan kapal Groton telah disasarkan dengan dua peluru berpandu balistik ketika berada 130 batu nautika di timur Aden.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Britain pula menyatakan kapten kapal mengesahkan semua kru selamat dan ia sedang menuju ke destinasi pelabuhan seterusnya.

Sasaran Houthi ke atas kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel, telah mengganggu laluan perkapalan di kawasan maritim yang penting bagi perdagangan global.

Houthi melancarkan kempen serangan terhadap perkapalan antarabangsa yang melalui Laut Merah dan Teluk Aden sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza yang ditindas Israel. -AFP

SITI AISHAH MD ISA