BEIRUT, 6 Januari- Kumpulan Hizbullah Lubnan hari ini melepaskan lebih 60 roket ke arah pangkalan tentera Israel dan serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan timbalan ketua Hamas di Beirut.
“Sebagai sebahagian daripada tindak balas awal terhadap jenayah membunuh pemimpin besar Sheikh Saleh al-Aruri. Hizbullah menyasarkan pangkalan kawalan udara Meron dengan 62 pelbagai jenis peluru berpandu,” kata kumpulan yang disokong Iran itu dalam satu kenyataan.
Sempadan Israel-Lubnan telah menyaksikan pertukaran tembakan secara berkala, terutamanya antara tentera Israel dan sekutu Hamas, Hizbullah, sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober.
Pembunuhan Aruri pada Selasa di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut, yang mana seorang pegawai pertahanan AS memberitahu AFP ia dilakukan oleh Israel, telah menimbulkan kebimbangan yang berlarutan.
Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan kali pertama ke atas ibu negara Lubnan itu sejak permusuhan bermula tahun lalu.
Tentera Israel berkata ia telah mengenal pasti kira-kira 40 roket dilancar dari wilayah Lubnan pagi ini, sambil menambah dalam satu kenyataan bahawa tentera Israel menyerang sel yang bertanggungjawab untuk beberapa serangan tidak lama selepas itu.
Siren berbunyi di udara di pekan-pekan dan bandar-bandar di seluruh utara Israel, kemudiannya juga berbunyi di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
Dalam ucapan semalam, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah memberi amaran kepada Israel bahawa kumpulan itu akan bertindak membalas dengan pantas "di medan perang" terhadap pembunuhan Aruri.
Hampir tiga bulan tembakan merentas sempadan telah mengakibatkan 175 orang di Lubnan terbunuh, termasuk 129 pejuang Hizbullah, juga lebih 20 orang awam termasuk tiga wartawan, menurut pengiraan AFP.
Di utara Israel, sembilan askar dan sekurang-kurangnya empat orang awam telah terbunuh, menurut pihak berkuasa Israel. -AFP