BAITULMAQDIS, 6 November- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada Selasa atas alasan "krisis kepercayaan" dan menggantikannya dengan sekutu rapat, Israel Katz, untuk mengetuai perang negara itu di Gaza dan Lebanon.
Pengkritik Netanyahu menuduhnya mengutamakan politik berbanding keselamatan negara, terutama ketika Israel bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan balas Iran atas serangan udara pada 26 Oktober lalu terhadap Republik Islam itu.
Selepas pemecatan Gallant, penunjuk perasaan di Israel bertindak menghalang jalan raya dan membakar unggun api di jalanan, menurut polis.
Netanyahu juga melantik Gideon Saar sebagai menteri luar yang baharu menggantikan Katz.
Gallant dan Netanyahu, kedua-duanya dari parti Likud, telah bertelagah selama beberapa bulan mengenai objektif perang 13 bulan Israel di Gaza melawan kumpulan militan Palestin, Hamas.
Namun, pemecatan Gallant berlaku secara mengejut dan pada masa yang sama AS sedang mengadakan pilihan raya presiden.
Kempen Israel di Gaza dan Lebanon telah memasuki fasa baru selepas pembunuhan komander tertinggi dari Hamas dan Hezbollah.
Netanyahu berkata Gallant telah membuat kenyataan yang "bertentangan dengan keputusan kerajaan dan kabinet." Sebagai respons, Gallant menegaskan, keselamatan negara Israel sentiasa menjadi misi hidupnya.
Katz berjanji untuk memastikan kepulangan tebusan Israel dari Gaza dan pemusnahan Hamas serta Hezbollah.
Sebagai menteri luar, Katz sebelum ini melarang Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, daripada memasuki Israel kerana dianggap gagal mengutuk serangan peluru berpandu Iran dan bersikap antisemitik serta anti-Israel.
Pada September lalu, dia juga menolak cadangan dari AS dan Perancis untuk gencatan senjata selama 21 hari di Lebanon.-REUTERS