fb fb fb fb fb

Heathrow kaji semula pelan landasan ketiga untuk kurangkan kos

Foto Reuters

LONDON, 8 Mac – Lapangan Terbang Heathrow di Britain sedang mempertimbangkan perubahan terhadap pelan pengembangannya sebelum ini dalam usaha mengurangkan kos, termasuk pembinaan landasan ketiga yang lebih pendek, lapor Financial Times pada Sabtu.

Jurucakap Lapangan Terbang Heathrow dalam satu kenyataan kepada Reuters memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengkaji rancangan bagi melaksanakan projek pengembangan yang dibiayai secara persendirian dan akan membentangkannya kepada kerajaan Britain pada musim panas ini.

Menurut laporan FT, lapangan terbang paling sibuk di Eropah itu sedang meneliti semua pilihan sebelum membuat keputusan muktamad.

Salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah pengembangan ke arah barat laut dengan pembinaan landasan ketiga yang lebih pendek bagi mengelakkan pemindahan Lebuhraya M25 London melalui terowong.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Heathrow, Thomas Woldbye berkata cadangan pembinaan landasan ketiga itu akan dikemukakan pada musim panas ini.

Kenyataan tersebut dibuat selepas kerajaan Britain menyatakan sokongan terhadap projek berkenaan, dengan alasan ia berpotensi merangsang perdagangan serta pertumbuhan ekonomi.

Woldbye turut menyatakan bahawa landasan ketiga itu dijangka boleh beroperasi menjelang tahun 2035.

Pada masa ini, dua landasan Heathrow telah mencapai kapasiti penuh, dan lapangan terbang itu hanya boleh menambah jumlah penumpang sekiranya syarikat penerbangan menggunakan pesawat yang lebih besar.

Sebagai perbandingan, pesaing utama di Eropah seperti Paris dan Amsterdam masing-masing mempunyai empat dan enam landasan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN