fb fb fb fb fb

Hartawan Vietnam dijatuhi hukuman mati, 'songlap' lebih RM59 bilion

Hartawan hartanah Vietnam Truong My Lan (tengah) dijatuhi hukuman mati berhubung kes skandal penyelewangan rasuah dan penipuan terbesar di negara itu/Foto AFP

HANOI, 11 April - Seorang hartawan terkenal Vietnam dijatuhi hukuman mati hari ini berhubung kes penipuan terbesar di negara itu membabitkan penyelewengan AS$12.46 bilion (RM59.21 bilion).

Ia merupakan kes rasuah terbesar dalam sejarah dengan anggaran ganti rugi bernilai AS$27 bilion (RM128.19 bilion).

Pengerusi pemaju utama Van Thinh Phat, Truong My Lan, di dapati bersalah atas kesalahan penyelewengan, rasuah dan pelanggaran peraturan perbankan dalam akhir perbicaraan.

Lan dan rakan sejenayahnya dituduh 'songlap' wang tunai daripada Saigon Commercial Bank (SCB) selama lebih sedekad.

Lan menggelapkan AS$12.5 bilion (RM59.34 bilion), namun pendakwa raya hari ini berkata, jumlah kerosakan yang disebabkan oleh penipuan itu kini berjumlah AS$27 bilion (RM128.19 bilion), angka yang bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK 2023) negara.

Selepas perbicaraan selama lima minggu, 85 individu yang lain juga menghadapi keputusan dan hukuman atas tuduhan yang terdiri daripada rasuah dan salah guna kuasa kepada peruntukan dan pelanggaran undang-undang perbankan.

Perbicaraan bermula pada 5 Mac lalu dan berakhir lebih awal daripada yang dirancang.

Parti Komunis Vietnam yang memerintah sebelum ini menjalankan kempen antirasuah sejak 2016 yang mengakibatkan penyingkiran pegawai tertinggi.

Usaha pemimpin Parti Komunis yang memerintah, Nguyen Phu Trong yang membanteras rasuah telah menyaksikan beratus-ratus pegawai kanan negeri dan eksekutif perniagaan berprofil tinggi didakwa atau dipaksa meletak jawatan. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN