NEW YORK, 20 November - Hartawan India, Gautam Adani, didakwa dengan kes rasuah bernilai ratusan juta dolar selain menyembunyikan pembayaran tersebut daripada pelabur.
Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) menerusi kenyataan berkata, Adani yang memiliki perniagaan dalam sektor arang batu, lapangan terbang, simen, dan media, berdepan beberapa pertuduhan penipuan korporat dan mengalami kejatuhan saham dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Adani didakwa bersetuju membayar rasuah lebih AS$250 juta (kira-kira RM1.17 bilion) kepada pegawai kerajaan India untuk mendapatkan kontrak tenaga solar yang menguntungkan dirinya, dengan anggaran keuntungan melebihi AS$2 bilion (RM8.94 bilion) selepas cukai dalam tempoh 20 tahun.
Pejabat pendakwa raya mendedahkan tiada seorang pun daripada tertuduh, termasuk Adani, kini berada dalam tahanan.
Salah seorang rakan subahatnya dilaporkan mencatat semua pembayaran rasuah dengan terperinci menggunakan telefon bimbit.
"Tuduhan ini melibatkan pembayaran rasuah lebih AS$250 juta kepada pegawai kerajaan India, penipuan terhadap pelabur dan bank untuk mengumpul dana berbilion dolar, serta cubaan menghalang siasatan kerajaan," kata Timbalan Penolong Peguam Negara AS, Lisa Miller.
FBI turut menuduh Adani dan tujuh eksekutif perniagaan lain merasuah kerajaan India untuk membiayai kontrak yang menguntungkan syarikat mereka, sementara tertuduh lain cuba menyembunyikan konspirasi tersebut dengan menghalang siasatan kerajaan.
Adani dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan jarang tampil depan media.
Dia dilahirkan di Ahmedabad, Gujarat dan hidup dalam keluarga sederhana.
Beliau berhenti sekolah pada usia 16 tahun dan berpindah ke Mumbai untuk bekerja dalam perniagaan perdagangan permata.
Pada tahun 1988, Adani menubuhkan Adani Group dan perniagaannya berkembang pesat dalam perdagangan eksport.
Pada 1995 beliau mendapat kontrak untuk membina dan mengendalikan pelabuhan komersial di Gujarat. Tahun itu merupakan peluang besar buat Adani Group.
Namun, perkembangan pantas syarikat Adani pernah menimbulkan kebimbangan.
Pada 2022, CreditSights memberi amaran bahawa syarikat itu terlalu banyak berhutang.
Pada 2023, laporan daripada Hindenburg Research mendakwa Adani Group terlibat dalam memanipulasi saham dan penipuan akaun secara terang-terangan selama beberapa dekad.
Laporan itu turut menyatakan bahawa sikap kerajaan yang terlalu berlembut menyebabkan pelabur, wartawan, dan rakyat takut untuk mencabar tindakan syarikat itu. - AFP