fb fb fb fb fb

Hari terpanas dunia direkodkan pada 21 Julai - Pemantau

Ahad, 21 Julai merupakan hari paling panas pernah direkodkan / Foto Reuters

LONDON, 24 Julai – Ahad, 21 Julai merupakan hari paling panas pernah direkodkan, menurut data awal daripada Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, yang telah menjejaki corak cuaca global sebegitu sejak 1940.

Purata suhu udara permukaan global pada hari Ahad mencecah 17.09 darjah Celsius (62.76 darjah Fahrenheit), lebih tinggi sedikit daripada rekod sebelumnya yang dicatatkan pada Julai lalu iaitu 17.08 C (62.74 F), ketika gelombang haba melanda kawasan besar di Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia.

Carlo Buontempo, pengarah perkhidmatan Copernicus, berkata kemungkinan awal minggu ini boleh mengatasi rekod pada Ahad ketika gelombang panas terus melanda seluruh dunia.

Tahun lalu, empat hari berturut-turut gelombang haba direkodkan iaitu dari 3 Julai hingga 6 Julai, ekoran perubahan iklim yang didorong oleh pembakaran bahan api fosil, telah mengakibatkan gelombang haba yang tinggi merentasi Hemisfera Utara.

Walaupun rekod yang dicatatkan pada Ahad hanya lebih tinggi sedikit daripada bacaan tahun lepas, "apa yang luar biasanya ialah betapa berbezanya suhu 13 bulan lepas dengan rekod sebelumnya," kata Buontempo.

Setiap bulan sejak Jun 2023, telah disenaraikan sebagai planet terhangat sejak rekod bermula, berbanding bulan yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

Sesetengah saintis telah dicadangkan 2024 boleh melepasi 2023 sebagai tahun paling panas sejak rekod bermula, kerana perubahan iklim dan fenomena cuaca semula jadi El Nino, yang berakhir pada April, telah mendorong suhu lebih tinggi tahun ini.

"Akibat daripada peningkatan gas rumah hijau di atmosfera, kita pasti akan melihat rekod baharu dipecahkan dalam beberapa bulan akan datang dan dalam beberapa tahun akan datang," kata Buontempo.

Para saintis dan penyokong alam sekitar telah lama menyeru para pemimpin global dan negara yang lebih kaya untuk berhenti dan menamatkan pergantungan mereka pada bahan api fosil untuk mencegah kesan bencana perubahan iklim, termasuk peningkatan gelombang haba.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN