fb fb fb fb fb

Hari ketiga gencatan senjata: Enam rakyat Palestin terbunuh

Dua rakyat Palestin ditembak dari jarak jauh oleh rejim Zionis Israel/Foto WAFA

JENIN, 21 Januari - Enam rakyat Palestin terbunuh dalam satu operasi besar-besaran oleh tentera Israel di kem pelarian Jenin, Tebing Barat, yang menjadi tempat perlindungan bagi ramai penduduk Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa.

Operasi tersebut turut menyebabkan 35 orang cedera, menurut laporan kementerian yang berpusat di Ramallah.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata operasi itu kononnya untuk menghapus keganasan di kem tersebut.

Netanyahu menyifatkan kem itu sebagai kubu kuat kumpulan pejuang Palestin.

Sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel pada Ahad lalu, beberapa insiden keganasan dan serangan tanpa henti oleh rejim Zionis Israel dilaporkan berlaku.

Ini menunjukkan genosid di negara itu masih belum reda sepenuhnya.

Pada 19 Januari, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.

Keesokan harinya, pada 20 Januari, laporan kementerian yang sama melaporkan 60 lagi rakyat Palestin terkorban akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam selepas gencatan senjata bermula.

Hari ini (21 Januari) enam rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan 35 lagi cedera dalam satu operasi ketenteraan besar oleh Israel di kem pelarian Jenin, Tebing Barat.

Jumlah kematian keseluruhan meningkat kepada 47,035 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, operasi itu melibatkan serangan besar-besaran yang menyebabkan kecederaan serius dan kemusnahan di kawasan tersebut. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN