SHARM EL-SHEIKH, 8 Oktober - Hari kedua rundingan damai Gaza antara Hamas dengan Israel semalam disifatkan sebagai sukar dan rumit.
Dalam rundingan tersebut, Hamas memberi amaran kepada zionis agar tidak sesekali mencuba menggagalkan usaha untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
Sumber dalam rundingan itu mendedahkan, rundingan hari kedua memberi tumpuan kepada isu-isu penting termasuk laluan untuk pengunduran tentera Israel dan pembebasan warga Israel yang ditahan di Gaza.
Hamas menegaskan, sebarang pembebasan mesti berlaku serentak dengan pengunduran tentera Israel sepenuhnya dari Gaza, dan menuntut jaminan antarabangsa untuk gencatan senjata kekal.
Sumber kepada Hamas pula memaklumkan, kumpulan pejuang Palestin itu masih belum memberi jawapan kepada berapa syarat dikemukakan Israel untuk gencatan senjata menyeluruh.
Terutamanya, syarat yang menuntut Hamas meletak senjata dan perkara tadbir urus Gaza pada masa hadapan.
Sementara itu, pengantara rundingan, Mesir sedang mempergiat usaha untuk membantu merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua pihak.
Qatar, Turkiye, dan Amerika Syarikat telah menghantar delegasi ke Sharm el-Sheikh, dengan semua pihak dijadual meneruskan perbincangan hari ini. - AFP