(Harga ayam naga berdasarkan saiz kakinya, semakin tebal semakin mahal hingga boleh
mencecah ribuan ringgit seekor/AFP)
HANOI, 18 Januari- Harga ayam naga boleh mencecah sehingga AS$2,000 (RM8,600) seekor di sini menjelang sambutan Tahun Baru Vietnam atau lebih dikenali sebagai Tet.
Kaki tebal ayam naga atau dalam bahasa tempatan, ayam Dong Tao, dianggap hidangan istimewa dan popular dalam kalangan orang kaya semasa sambutan berkenaan.
Pemilik sebuah ladang ternakan ayam naga di sini, Le Van Hein berkata, ayam seberat empat kilogram dengan kaki merangkumi satu perlima berat badannya, dijual pada harga AS$150 (RM650), namun ayam baka berkenaan yang besar dikatakan berharga 10 kali ganda lebih tinggi.
Malah, sesetengahnya pernah memasuki pertandingan ayam cantik.
Ujarnya, kunci kepada rasa sedap ayam naga adalah diet haiwan itu yang terdiri daripada beras dan biji jagung, di samping diberikan kebebasan untuk merayau.
“Lebih banyak ayam ini bergerak, ototnya menjadi lebih kuat dan besar,” kata Hien kepada agensi berita AFP.
Daging seekor ayam naga boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram dan digemari kerana teksturnya yang liat dan kenyal tetapi juga rendah lemak.
Ayam itu kadang kala direbus dan juga digoreng atau dikukus bersama serai. -AFP
(Kaki ayam naga disifatkan hidangan mewah dan popular dalam kalangan orang kaya
di Vietnam/AFP