fb fb fb fb fb

Hanya peluasan lintasan darat ke Gaza berupaya kekang kebuluran- WHO

Penduduk Palestin beratur untuk mengambil makanan yang disumbangkan oleh pertubuhan amal/AFP

GENEVA, 22 Mac- Hanya peluasan lintasan darat untuk membawa bantuan ke Gaza boleh membantu mencegah kebuluran di Palestin.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, nyawa kanak-kanak di Gaza diancam masalah kekurangan zat makanan serta penyakit, selain kekurangan air bersih dan sanitasi.

"Usaha terkini untuk menghantar makanan melalui udara dan laut adalah dialu-alukan, tetapi hanya peluasan lintasan darat akan membolehkan penghantaran berskala besar untuk mengelakkan kebuluran," katanya.

"Masa depan seluruh generasi berada dalam bahaya yang serius.

Konflik Israel-Hamas sejak lima bulan lalu menyebabkan 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza bergelut dengan krisis kekurangan makanan yang semakin kritikal.

Agensi bantuan PBB berkata 'halangan besar' untuk menghantar bantuan ke utara Gaza hanya akan diatasi dengan gencatan senjata dan pembukaan lintasan sempadan ditutup oleh Israel selepas 7 Oktober tahun lalu.

Tedros berkata permintaan WHO untuk menghantar bekalan ke kawasan itu sering disekat atau ditolak.

Berhubung serangan Israel ke atas Hospital Al Shifa di utara Gaza yang memasuki hari keempat, pada Khamis, beliau sekali lagi menegaskan kemudahan penjagaan kesihatan mesti dilindungi tanpa diancam operasi ketenteraan.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN