RAFAH, 15 Mei- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa hampir 450,000 orang telah berpindah dari selatan Rafah susulan arahan pengusiran oleh Israel pada 6 Mei lalu.
Sementara itu, kira-kira 100,000 orang lagi terpaksa meninggal kediaman mereka berikutan pertempuran baharu di utara Gaza.
Dianggarkan satu perempat penduduk Gaza yang berjumlah sekitar 2.4 juta orang telah kehilangan tempat tinggal dalam tempoh seminggu, menurut PBB.
Terdahulu, Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) mengeluarkan amaran tentang bencana "epik" jika Israel terus melakukan pencerobohan darat ke atas Rafah.
Rafah kini menjadi tempat berlindung kepada kira-kira 1.4 juta orang dari serata Gaza yang musnah akibat dibom zionis.
"Mereka dari Rafah akan kembali ke kawasan yang musnah (seperti Khan Yunis), sama sekali tidak sesuai untuk didiami.
"Ramai telah keletihan, kelaparan dan ketakutan berterusan. Tiada tempat yang selamat. Gencatan senjata adalah satu-satunya harapan," menurut UNRWA menerusi platform X.
Sebelum ini, Israel mengeluarkan notis pengusiran penduduk di selatan Rafah yang mengarahkan mereka ke Al-Mawasi di pantai barat laut Rafah. -AFP