fb fb fb fb fb

Hampir 200 terkorban, 1800 cedera dalam konflik di Sudan

SUDAN, 18 April- Sekurang-kurangnya 185 orang terkorban, manakala 1,800 lagi cedera dalam pertempuran di Sudan setakat Isnin.

Ketua Misi Bantuan Peralihan Bersepadu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan, Volker Perthes berkata, kedua-dua pihak tidak menunjukkan sebarang tanda untuk melakukan rundingan.

"Keadaan ketika ini tidak menentu, sukar untuk menyatakan ia akan berpihak kepada siapa," katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan berkenaan situasi semasa konflik tersebut.

(Antara kemusnahan yang berlaku akibat konflik di Sudan / Foto AFP)

Pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) tercetus Sabtu lalu dan berlarutan hingga kini.

Kedua-dua pihak menggunakan pelbagai aset ketenteraan termasuk kereta kebal, meriam, jet pejuang dan senjata berat lain.

Sementara itu, Komander RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo menerusi Tweeternya memaklumkan, beliau telah menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken bagi membincangkan situasi di Sudan.

Beliau yang dikenali sebagai Hemedti mengulangi komitmen untuk melindungi orang awam di kawasan bawah kawalan RSF.-REUTERS

 

 

Media Baharu