fb fb fb fb fb

PM UK disiasat berhubung saham milik isteri

(Rishi Sunak bersama isteri,  Akshata Murty/ REUTERS)

LONDON, 18 April- Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak, kini disiasat pihak berkuasa pengawasan Parlimen negara itu berhubung berhubung saham milik isterinya dalam syarikat sebuah syarikat penjagaan kanak-kanak.

Siasatan menjurus kepada kemungkinan beliau gagal mengisytiharkan saham yang dipegang isterinya, Akshata Murty, dalam agensi yang mendapat manfaat daripada belanjawan kerajaan baru-baru ini.

Murty adalah anak perempuan kepada pengasas bersama gergasi teknologi maklumat (IT) India, Infosys, dan harta peribadinya dianggarkan sekitar AS$700 juta (RM3.1 bilion).

Sunak sebelum ini berdepan kritikan berhubung status 'non-dom' atau bukan pemastautin isterinya dan tidak mengisytiharkan pendapatannya daripada dividen di Infosys untuk tujuan pembayaran cukai di UK.


(Perdana Menteri UK, Rishi Sunak / AFP)

Namun, Murty kemudian bersetuju melakukannya selepas kekecohan berhubung isu itu menjadi semakin besar.

Pesuruhjaya Pematuhan Parlimen, Daniel Greenberg, memaklumkan siasatan akan dilakukan berhubung pemilikan saham oleh Murty dalam agensi penjagaan kanak-kanak Koru Kids, menurut kenyataan yang diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.

Portal berita antarabangsa Al Jazeera melaporkan, peraturan pihak berkuasa UK menuntut setiap 'Ahli Parlimen perlu sentiasa terbuka dan jujur dalam mengisytiharkan sebarang kepentingan yang berkaitan dalam mana-mana prosiding di Dewan atau jawatankuasa'.

Parlimen UK juga menuntut Ahli Parlimen mendedahkan kepentingan kewangan dalam tempoh empat minggu daripada sesuatu perkara yang mereka umum atau tindakan yang diambil setiap ahli Dewan yang mungkin dipengaruhi oleh kepentingan kewangan.

Sementara itu, jurucakap Sunak berkata, Perdana Menteri tidak membuat pengisytiharan sebagai Ahli Parlimen tetapi merekodkan 'kepentingan menteri' iaitu pengisytiharan yang setara bagi menteri kerajaan.

Belanjawan yang diumumkan kerajaan UK pada bulan lalu termasuk meluaskan insentif penjagaan kanak-kanak secara percuma untuk keluarga yang bekerja dengan kanak-kanak berumur dari sembilan bulan hingga empat tahun.

Pelan itu termasuk insentif kewangan bagi orang yang bergabung dalam profesion penjagaan kanak-kanak dan menggandakan insentif jika ia dilakukan melalui agensi swasta.

Murty, isteri Sunak, mempunyai saham dalam Koru Kids, yang disenaraikan dalam laman sesawang kerajaan sebagai salah satu daripada enam agensi yang memperoleh manfaat.

Sehubugan itu, Sunak diminta 'bersikap terbuka' berhubung kepentingan kewangan keluarganya bulan lalu selepas ditanya oleh Ahli Parlimen mengapa dasar penjagaan kanak-kanak memberi kelebihan kepada agensi swasta.

Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai kepentingan yang perlu diisytiharkan, Sunak tidak menyebut mengenai saham yang dimiliki isterinya.

"Tidak, semua pengisytiharan saya diisytiharkan dengan cara biasa," katanya. - AFP

 

Media Baharu