fb fb fb fb fb

Pertempuran di Sudan: Pelajar terperangkap kongsi video, rayu bantuan

(Foto Reuters)

SUDAN, 18 April- Kira-kira 88 pelajar dan kakitangan Sekolah Kejuruteraan Universiti Khartoum, di sini terperangkap berikutan tercetusnya pertempuran pada Sabtu, antara Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF).

Dalam klip video yang disiarkan pada Isnin, salah seorang pelajar, Umar Farooq merayu bantuan dan berkata mereka yang terperangkap menghadapi situasi terdesak.

Seorang pelajar terbunuh dalam pertempuran pada malam Ahad dan seorang lagi cedera parah, katanya.

"Kami merupakan pelajar di Universiti Khartoum, kini berada di Pusat Pengajian Kejuruteraan. Hari ini merupakan hari ketiga sejak pertempuran tercetus pada Sabtu.

"Terdapat kira-kira 88 daripada kami, termasuk 20 pekerja. Keadaan benar-benar dahsyat sekarang, pertempuran telah bermula dan berterusan.

"Seorang pelajar maut dalam pertempuran semalam dan sehingga kini kami tidak dapat memindahkan mayatnya ke tempat lain. Kami juga mempunyai mangsa yang cedera parah.

"Kami tidak mempunyai tempat untuk pergi. Kami menyeru operasi menyelamat secepat mungkin, kerana kami tidak mempunyai bekalan dan makanan.

"Masih ada kapal terbang beredar di luar bangunan. Kami sangat-sangat takut dengan bekalan elektrik dan air terputus. Terima kasih semua," kata Farooq dalam klip video itu.

(Tangkap layar pelajar, Umar Farooq menerusi video yang dikongsikan/Foto Reuters)

Video yang dikongsi menunjukkan sebuah bilik dalam universiti dipenuhi orang ramai yang berlindung daripada keganasan yang semakin meningkat di luar.

Setakat Isnin, sekurang-kurangnya 97 orang awam terbunuh dan ratusan cedera sejak pertempuran di ibu negara Sudan Khartoum tercetus pada Sabtu, kata kesatuan doktor Sudan dalam satu kenyataan awal Isnin.-REUTERS

Media Baharu