GAZA, 12 Oktober - Briged al-Qassam Hamas mengeluarkan video yang menunjukkan pembebasan seorang tebusan wanita dan dua kanak-kanak.
Video yang disiarkan Al Jazeera pada malam Rabu dirakam dari jarak jauh, menunjukkan wanita yang tidak dikenal pasti dan dua kanak-kanak berada di belakang.
Kelihatan beberapa lelaki dipercayai pejuang Hamas beredar selepas meninggalkan mereka di kawasan lapang berhampiran pagar yang menjadi sempadan antara Israel dan Gaza.
Bagaimanapun, tidak jelas bila video dirakam.
Setakat ini, pihak berkuasa Israel masih belum mengulas mengenai video itu.
Dalam satu kenyataan, Briged al-Qassam – sayap bersenjata Hamas – berkata, wanita itu adalah warga Israel.
“Seorang penceroboh Israel dan dua anaknya dibebaskan selepas mereka ditahan ketika pertempuran,” katanya, menurut laporan agensi berita AFP.
(Tangkap layar siaran Al-Jazeera menunjukkan wanita dan dua kanak-kanak dibebaskan)
Dianggarkan 150 tawanan telah ditahan Hamas pada Sabtu semasa serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel, yang segera mengisytiharkan perang ke atas Gaza.
Menurut kementerian kesihatan, pengeboman Israel tanpa henti selama lima hari itu telah mengorbankan lebih 1,050 penduduk, termasuk beratus-ratus orang awam, dan mencederakan lebih daripada 5,000 yang lain di Gaza.
Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 250,000 penduduk di wilayah Palestin yang dikepung sepenuhnya oleh zionis Israel telah dipindahkan.
Tentera Israel berkata, lebih 1,200 penduduk termasuk 155 tentera terkorban di Israel sejak Sabtu lalu.