GAZA, 16 Oktober - Hamas menyerahkan dua lagi mayat tebusan kepada Israel manakala Israel pula memulangkan 45 jenazah tahanan Palestin menerusi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), semalam, di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang kini memasuki hari keenam.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, dua mayat berkenaan diterima menerusi ICRC di Gaza pada Rabu malam dan dibawa ke Tel Aviv untuk proses pengecaman forensik.
Setakat ini, Hamas telah menyerahkan 10 mayat tebusan kepada Israel namun masih belum membebaskan baki 10 lagi yang masih belum dikenal pasti kedudukan mereka.
Sayap ketenteraan Hamas, Briged al-Qassam dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menunaikan komitmen terhadap perjanjian berkenaan dengan menyerahkan semua tahanan Israel yang masih hidup serta mayat yang dapat dikesan.
Menurutnya, usaha mencari baki mayat lain memerlukan “usaha besar dan peralatan khas”.
Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza mengesahkan pemulangan 45 jenazah tahanan Palestin. Sehari sebelumnya, Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza memaklumkan telah menerima mayat 45 tahanan Palestin yang dipulangkan oleh Israel.
Secara keseluruhan, Israel telah menyerahkan sebanyak 90 jenazah setakat ini.
Pemulangan mayat berkenaan dibuat selepas penghantaran kumpulan terakhir 20 tebusan yang masih hidup dari Gaza ke Israel serta pembebasan kira-kira 2,000 tahanan dan banduan Palestin, menandakan fasa penting dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Rabu berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk membenarkan tentera Israel menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza atas arahannya, sekiranya Hamas gagal mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata.
Sehari sebelum itu, Trump turut memberi amaran untuk melucutkan senjata Hamas dengan segera dan mungkin secara keras sekiranya kumpulan itu enggan berbuat demikian secara sukarela.-REUTERS