GAZA, 16 Oktober - Konvoi bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza minggu ini, membawa bekalan makanan dan keperluan asas kepada penduduk selepas dua tahun dilanda konflik yang memusnahkan.
Penghantaran bantuan kemanusiaan merupakan antara terma utama perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, yang menetapkan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan dibenarkan masuk setiap hari.
Pada Rabu, beberapa konvoi membawa tepung gandum, gula dan barangan keperluan lain melintasi sempadan Rafah, sekali gus memberi kelegaan kepada ribuan penduduk yang terjejas.
Antara penerima bantuan ialah Muhammad Qashlan, yang hilang tempat tinggal akibat pertempuran bersama enam ahli keluarganya. Dia mendaftar untuk menerima bantuan sebaik sahaja penghantaran pertama dibenarkan masuk ke Gaza dan memperoleh pakej pertamanya pada Rabu.
“Ini daging, ini pasta, minyak, cuka, garam, keju, kacang, lentil, tepung. Kehidupan sebelum gencatan senjata sangat sukar. Sempadan ditutup. Ramai saudara saya terbunuh atau cedera. Untuk dapatkan bantuan pun berisiko tinggi dan amat meletihkan. Gaza hampir kehabisan makanan,” katanya.
Qashlan turut mengimbas kembali keadaan sebelum gencatan senjata, apabila proses mendapatkan bantuan umpama “permainan memburu”. Orang ramai berpusu-pusu di pusat agihan bantuan, namun sering diserang secara tiba-tiba menyebabkan keadaan huru-hara.
“Sangat bahaya untuk dapatkan bantuan. Ramai sanggup pertaruhkan nyawa dan ada yang mati di tengah jalan. Pernah sekali saya ke tempat agihan pukul dua pagi, tiba-tiba pesawat datang dan melepaskan tembakan. Ramai cedera, ada yang maut. Saya tak dapat apa-apa sebab semua habis dirampas. Tapi sekarang jauh lebih baik selepas gencatan senjata. Bantuan diagih dengan teratur oleh jawatankuasa Mesir dan Qatar,” katanya lagi.
Operasi kemanusiaan di Gaza kini berjalan sepenuhnya dengan bantuan utama masuk melalui lintasan Rafah sebelum diagihkan kepada rakyat Palestin oleh organisasi antarabangsa dan serantau.
Jurucakap jawatankuasa bantuan Mesir, Mohammed Mansour, berkata pihaknya telah menerima lori bantuan dari Mesir yang membawa makanan dan beratus tan tepung gandum.
“Kami sudah agihkan lebih 750,000 pek makanan. Prosesnya sistematik dan teratur. Ramai rakyat Gaza sebelum ini diserang atau dibunuh ketika cuba mendapatkan bantuan, ada yang terkorban hanya kerana sekampit tepung. Kami mahu rakyat Palestin kembali hidup dengan maruah,” katanya.-REUTERS