BANGKOK, 16 Oktober - Thailand menuduh Kemboja menanam periuk api jenis PMN-2 buatan Soviet di kawasan sempadan pertikaian yang mencederakan beberapa anggotanya sejak Julai lalu, namun Phnom Penh menafikan dakwaan itu dan menyatakan periuk api berkenaan adalah tinggalan perang lama.
Tuduhan itu tercetus selepas seorang pegawai tentera Thailand kehilangan pergelangan kaki akibat terpijak periuk api pada 16 Julai, yang mencetuskan ketegangan lima hari antara kedua-dua negara sebelum gencatan senjata ditaja Amerika Syarikat dicapai.
Empat pakar bebas yang menilai bahan bukti diserahkan Thailand kepada Reuters berkata imej menunjukkan periuk api itu kelihatan baru ditanam, namun mereka tidak dapat menentukan pihak yang menanamnya.
Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA) menegaskan hanya siasatan bebas boleh menentukan kebenaran dan menafikan negara itu masih menyimpan stok periuk api aktif.
Thailand yang merupakan sekutu lama AS mendakwa tidak pernah memiliki atau menggunakan periuk api jenis PMN-2 dan kini menekan Kemboja melalui Konvensyen Ottawa serta meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, campur tangan terhadap pelanggaran perjanjian itu.-REUTERS