fb fb fb fb fb

Hamas sedia capai perjanjian tamatkan perang, tawar gencatan senjata lima tahun

Seorang lelaki mencurahkan sebaldi air bagi memadamkan kebakaran pada jentolak yang musnah di garaj Majlis Perbandaran Jabalia, selepas kawasan itu terkena serangan udara Israel, di Jabalia, utara Gaza. / Foto AFP

KAHERAH, 27 April-Kumpulan pejuang Hamas dilaporkan bersedia untuk memuktamadkan perjanjian bagi menamatkan perang di Gaza.

Ini termasuk pembebasan semua tebusan dan mengadakan gencatan senjata selama lima tahun, ketika rundingan dengan pihak pengantara berlangsung, menurut seorang pegawai kumpulan berkenaan pada Sabtu.

Delegasi Hamas kini berada di Kaherah bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap perang yang telah berlarutan selama 18 bulan bersama pengantara dari Mesir, manakala di lapangan, pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh akibat serangan udara Israel.

Hampir lapan minggu selepas sekatan bantuan Israel dilaksanakan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bekalan makanan dan perubatan kini semakin kehabisan.

Seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali berkata, kumpulan pejuang Palestin itu "bersedia untuk pertukaran tahanan secara sekali gus dan gencatan senjata selama lima tahun".

Usaha terbaru ini sebagai solusi terhadap perjanjian gencatan senjata oleh Israel sebelum ini yang ditolak Hamas kerana dianggap "separa", dengan Hamas menuntut perjanjian "menyeluruh" bagi menghentikan perang yang tercetus pada Oktober 2023.

Menurut seorang pegawai kanan Hamas, tawaran Israel yang ditolak itu termasuk gencatan senjata selama 45 hari sebagai pertukaran bagi pembebasan 10 tebusan hidup.

Hamas tetap bertegas bahawa sebarang perjanjian gencatan senjata mesti membawa kepada penamatan perang sepenuhnya, pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, serta peningkatan besar bantuan kemanusiaan.

Penarikan tentera Israel dan "pengakhiran perang secara kekal" turut digariskan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, dalam fasa kedua pelan gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari tetapi runtuh dua bulan kemudian.

Hamas berusaha membuka rundingan bagi fasa kedua tersebut, namun Israel sebaliknya mahu melanjutkan fasa pertama.

Israel menuntut pembebasan semua tebusan yang ditawan pada 2023 dan perlucutan senjata Hamas, sesuatu yang ditolak keras oleh Hamas.

"Kali ini kami akan menuntut jaminan berhubung penamatan perang," kata pegawai kanan Hamas, Mahmud Mardawi, dalam satu kenyataan.

"Penjajah (Israel) boleh kembali berperang selepas sebarang perjanjian separa, tetapi tidak dapat berbuat demikian dengan perjanjian menyeluruh dan jaminan antarabangsa."

Kemudian pada Sabtu, pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan, mengulangi bahawa "sebarang cadangan yang tidak merangkumi penghentian perang secara menyeluruh dan kekal tidak akan dipertimbangkan."

"Kami tidak akan melepaskan senjata selagi penjajahan masih wujud," katanya dalam satu kenyataan.-AFP.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD