fb fb fb fb fb

Hamas, Israel setuju lanjut gencatan senjata

Rumah penduduk Palestin musnah dalam serangan Israel/REUTERS

GAZA, 30 November- Hamas dan Israel mencapai persetujuan saat akhir untuk melanjutkan gencatan senjata sehari lagi bagi membolehkan perunding terus mengusahakan perjanjian untuk menukar tebusan.

Gencatan senjata itu membenarkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan ke Gaza selepas sebahagian besar wilayah yang mempunyai 2.3 juta penduduk itu menjadi tanah terbiar oleh pengeboman Israel.

"Memandangkan usaha pengantara untuk meneruskan proses membebaskan tebusan dan tertakluk kepada terma rangka kerja akan diteruskan," kata tentera Israel dalam satu kenyataan iaitu beberapa minit sebelum gencatan senjata sementara itu tamat.

Hamas, membebaskan 16 tebusan sebagai pertukaran untuk 30 tahanan Palestin pada Rabu berkata, gencatan senjata akan diteruskan untuk hari ketujuh.

Menurut jurucakap kementerian luar Qatar, syarat gencatan senjata, termasuk menghentikan permusuhan dan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam serangan tembakan di Baitulmaqdis pada Khamis, kata perkhidmatan ambulans Israel Magen David Adom.

Sebelum perjanjian itu, Hamas dan Israel berkata mereka sedang bersedia untuk meneruskan pertempuran kerana rundingan mengenai kumpulan tebusan seterusnya yang akan dibebaskan menemui jalan buntu.

"Sebelum ini Israel diberikan senarai wanita dan kanak-kanak mengikut syarat perjanjian, dan oleh itu gencatan senjata akan diteruskan," kata Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan ketika gencatan senjata itu akan tamat.

Hamas sebelum ini berkata Israel enggan menerima tujuh lagi wanita dan kanak-kanak serta mayat tiga tebusan lain sebagai pertukaran untuk melanjutkan gencatan senjata.

Hamas tidak menamakan mereka yang terbunuh tetapi berkata pada hari Rabu satu keluarga tiga tebusan Israel, termasuk tebusan termuda, Kfir Bibas berusia 10 bulan, telah meninggal dunia semasa pengeboman Israel ke atas enklaf itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI