fb fb fb fb fb

Hamas akan bebaskan 11 lagi tebusan minggu ini

Pejuang Hamas mengawal kawasan di sebuah dataran sebelum membebaskan empat tebusan Israel kepada pasukan Palang Merah di Gaza City pada 25 Januari lalu/AFP

BAITULMAQDIS, 30 Januari- Seramai 11 lagi tebusan yang ditahan di Gaza termasuk lima warga Thailand akan dibebaskan minggu ini sebagai sebahagian daripada gencatan senjata di Gaza.

Hamas telah menyerahkan senarai tebusan berkenaan kepada kepada Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu -- lapan akan dibebaskan pada Khamis, manakala tiga lagi lelaki dijangka dibebaskan pada Sabtu.

Pengumuman itu dibuat selepas pegawai Hamas menyatakan Israel sengaja melengahkan penghantaran bantuan ke Gaza sekali gus menjejaskan perjanjian gencatan senjata yang sedang berlangsung.

Gencatan senjata berkenaan bergantung kepada pembebasan tebusan Israel yang ditahan sejak 7 Oktober 2023 sebagai pertukaran bagi 1,900 tahanan Palestin di penjara Israel.

Setakat ini, Hamas telah membebaskan tujuh tebusan, manakala 290 tahanan Palestin telah dibebaskan sebagai pertukaran.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, bantuan telah dibenarkan masuk ke Gaza yang musnah akibat serangan Israel.

Namun dua pegawai kanan Hamas memaklumkan Israel sengaja melambatkan penghantaran bantuan penting seperti bahan api, khemah, jentera berat dan peralatan lain yang diperlukan untuk pemulihan Gaza.

"Kelewatan berterusan serta kegagalan menangani isu ini akan menjejaskan kelancaran perjanjian termasuk pertukaran tahanan," kata salah seorang pegawai Hamas.

Sehingga kini, butiran penuh perjanjian gencatan senjata yang dimediasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat masih belum didedahkan kepada umum. -AFP

SITI AISHAH MD ISA