RAMALLAH, 30 Januari- Israel dijangka membebaskan 110 tahanan Palestin termasuk 30 kanak-kanak pada Khamis sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Kelab Tahanan Palestin dalam kenyataan memaklumkan pembebasan itu adalah pertukaran ketiga sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari lalu.
"Tahanan dijangka tiba di kawasan Radana, Ramallah sekitar tengah hari ini," menurut kenyataan itu.
Senarai yang diterbitkan menunjukkan 32 tahanan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala 48 lagi sedang menjalani hukuman penjara dengan tempoh berbeza.
Selain itu, 20 tahanan akan dibebaskan tetapi dipaksa meninggalkan tanah air mereka sebagai sebahagian daripada syarat pertukaran.
Dalam dua pertukaran sebelumnya, 290 tahanan Palestin dan seorang warga Jordan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tujuh tebusan Israel yang dibebaskan oleh pejuang Palestin.
Pada Khamis, tiga lagi tebusan Israel – Arbel Yehud, Agam Berger dan Gadi Moses – dijangka dibebaskan bersama lima warga Thailand yang identiti mereka masih belum didedahkan.
Pertukaran keempat yang dijadualkan pada Sabtu dijangka melibatkan pembebasan tiga lagi lelaki Israel, menurut pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. -AFP