fb fb fb fb fb

Serangan dron Israel bunuh 10 orang di Tebing Barat

Foto fail: Jenazah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis pada 14 Januari 2025 di kem pelarian Jenin, Tebing Barat/AFP

RAMALLAH, 30 Januari- Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron rejim Zionis di bandar Tamun, daerah Tubas, Tebing Barat yang diduduki pada Rabu.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan memaklumkan serangan itu merupakan sebahagian daripada siri keganasan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin.

"Terdapat 10 syahid akibat pengeboman yang dilakukan penjajah di bandar Tamun," menurut kenyataan itu.

Bulan Sabit Merah Palestin sebelum ini melaporkan tujuh orang maut dalam serangan tersebut, namun angka korban meningkat selepas beberapa mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Hamas mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada jenayah berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

"Kejahatan penjajah fasis di Tebing Barat serta dasar pembunuhan terancang terhadap pejuang dan mujahidin Palestin mengesahkan lagi agenda jenayah Israel dan usaha sia-sia mereka untuk melemahkan perjuangan rakyat Palestin,” menurut kenyataan Hamas.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 873 rakyat Palestin di Tebing Barat telah terbunuh sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023. -AFP

SITI AISHAH MD ISA