(Aktivis Myanmar di Jepun menggesa pembebasan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, pada Mei 2022/AFP)
YANGON, 18 Jun- Junta Myanmar menolak kritikan Pertubuhan Bangsa Bersatu terhadap rekod hak asasi manusia negara itu dan menuduh PBB "campur tangan" dalam hal ehwal dalamannya.
Dalam satu kenyataan, junta Myanmar menolak apa yang dipanggil "kenyataan berat sebelah dan tidak berasas" dalam sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang sedang berlangsung di Geneva.
“Myanmar ingin mengingatkan Pesuruhjaya Tinggi dan negara-negara tertentu bahawa individu yang dijatuhi hukuman mati adalah mereka yang ditemui bersama ratusan senjata dan mereka mengepalai puluhan pecahan kumpulan pengganas,” kata kenyataan misi Myanmar ke PBB.
(Michelle Bachelet/AFP)
Selasa lepas, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet berkata junta Myanmar berkemungkinan melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan" sejak merampas kuasa pada Februari tahun lalu.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 1,900 pembunuhan oleh tentera telah dilaporkan sejak rampasan kuasa, dengan lebih 13,500 orang ditangkap sewenang-wenangnya.
Bachelet juga menggesa kerajaan tentera negara itu membatalkan rancangan melaksanakan semula hukuman mati yang kali terakhir dilaksanakan pada 1990.
Antara yang berhadapan hukuman mati adalah seorang bekas ahli parlimen daripada parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis demokrasi terkemuka. -AFP