fb fb fb fb fb

Haji: Pasukan perubatan TH sedia rawatan psikiatri

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan) Dr Mahyin Kudong

MADINAH, 8 Mei- Pasukan perubatan Lembaga Tabung Haji (TH) tumpu rawatan psikiatri, selain rawatan perubatan fizikal.

Pasukan perubatan disertai pakar psikiatri bagi membantu jemaah haji yang menghadapi tekanan, susulan cuaca panas dan kering di Madinah.

Pengarah Operasi Madinah (Perubatan) Dr Mahyin Kudong berkata, faktor cuaca di Madinah yang berbeza dengan tanah air mampu mencetus gangguan emosi.

Beliau berkata suhu mencecah sehingga 42 darjah celcius boleh menimbulkan risiko penyakit berkaitan pernafasan dan kulit.

“Kita amat galakkan jemaah haji pun bersedia dengan air penyembur, sebab saya difahamkan ada syarikat yang bermurah hati untuk bersedekah kepada semua, isi siap-siap sekiranya ada panas yang mendadak boleh sembur pada waktu dan ketika itu.

“Bahagian rombongan kebajikan ada kaunselor, sebarang isu yang timbul berhubung stres atau permasalahan yang ada berkaitan mental kita akan cuba tangani bersama-sama", katanya kepada pemberita dalam sidang media di Madinah.

Jemaah haji yang bakal tiba di Madinah bermula esok juga diingatkan agar mengamalkan kebersihan diri dan minum air secukupnya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Kaunseling Sektor Madinah, Syazrina Maria Talib berkata unit kaunseling sedia membantu sekiranya timbul masalah berkaitan tekanan dalam kalangan jemaah.

“Tak perlu jumpa kami dekat pejabat pun, kami sekali untuk pasukan kaunseling setiap hari kita akan buat ziarah silaturrahim daripada bilik ke bilik untuk jumpa jemaah, untuk tahu situasi mereka, untuk ambil berat.

“Sebab kadang-kadang nak datang jumpa malu, jadi kita pergi jumpa dia, kita akan tanya hari ni macam mana, adakah apa-apa yang boleh kita bantu.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pukul 3.50 pagi, esok.

ROSLINA BINTI DIN