fb fb fb fb fb

Indonesia kutuk serangan Israel ke atas rafah, desak tindakan global cegah krisis kemanusiaan

Foto AFP

JAKARTA, 8 Mei- Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas bandar Rafah di Palestin dan kawalan yang dikenakan ke atas sempadan Rafah di sebelah Palestin.

Kementerian Luar Negeri Indonesia menyatakan: “Sebarang usaha untuk pemindahan paksa atau pengusiran penduduk Palestin, termasuk dari Rafah, tidak boleh diterima kerana ia dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.”

Melalui akaun rasmi X kementerian itu pada Rabu, mereka menggesa masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, agar segera mengambil tindakan untuk menghentikan kekejaman Israel serta mengelak sebarang bencana kemanusiaan daripada berlaku.

Kenyataan itu juga menegaskan, “Indonesia mengulangi seruannya untuk gencatan senjata segera dan kekal di Gaza serta menghapuskan semua halangan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.”

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa serangan terkini Israel ke atas Rafah di Gaza pada 6 Mei telah menyebabkan 19 kematian.

Pada hari yang sama, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa pengepungan ketenteraan dan serangan darat di Rafah akan menimbulkan risiko bencana kepada 600,000 kanak-kanak yang mencari perlindungan di kawasan itu.

Menurut UNICEF, selepas arahan pemindahan oleh tentera Israel pada 13 Okt 2023 supaya berpindah ke selatan, kira-kira 1.2 juta orang kini berlindung di Rafah, yang sebelum ini menampung hanya sekitar 250,000 penduduk.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN