fb fb fb fb fb

Habsyah isytihar 'keadaan darurat' di wilayah Amhara

(FOTO REUTERS)

NAIROBI, 5 Ogos- Kerajaan persekutuan Habsyah mengisytiharkan "keadaan darurat" selama enam bulan ketika pertempuran ganas meningkat antara angkatan tentera negara itu dengan kumpulan bersenjata tempatan dari wilayah utara Amhara.

Pergolakan baru di negara kedua paling ramai penduduk di Afrika itu berlaku hanya sembilan bulan selepas tamat perang dua tahun yang dahsyat di wilayah jiran, Tigray yang turut membabitkan kumpulan bersenjata dari Amhara.

"Adalah menjadi perlu untuk mengisytiharkan darurat kerana situasi telah menjadi sukar untuk mengawal pergerakan yang tidak boleh diterima ini bawah undang-undang semasa," kata pejabat Perdana Menteri, Abiy Ahmed dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Perkhidmatan komunikasi kerajaan kemudiannya memaklumkan bahawa walaupun langkah itu meliputi Amhara "selama enam bulan", ia juga boleh dikuatkuasakan di seluruh negara jika perlu.

Pertempuran di Amhara telah meningkat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan kerajaan asing mengeluaran amaran perjalanan ke Habsyah manakala penerbangan dihentikan.

Ketegangan semakin meningkat sejak April apabila kerajaan persekutuan mengumumkan ia akan memansuhkan pasukan serantau termasuk di Amhara.

Pada Khamis lepas, pihak berkuasa tempatan di Amhara meminta bantuan kerajaan persekutuan menguruskan keselamatan kerana keadaan menjadi "sukar dikawal" dan menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi.

Kerajaan berkata keganasan itu "membahayakan perintah perlembagaan" dan keputusan untuk memohon keadaan darurat adalah "sebulat suara".

Menurut dekri itu, perhimpunan jalanan dan perhimpunan dilarang, manakala sesiapa yang didapati melanggar dekri boleh berdepan "penjara antara tiga hingga sepuluh tahun".

Pihak berkuasa juga dibenar mengisytiharkan perintah berkurung manakala suspek diperiksa dan ditahan tanpa waran. -AFP

(Habsyah isytihar 'keadaan darurat' di wilayah Amhara/AFP)

Media Baharu