JAKARTA, 19 Januari- Gunung Ibu yang terletak di pulau terpencil Halmahera, wilayah Maluku Utara meletus sekurang-kurangnya seribu kali dalam bulan ini.
Menurut laporan Agensi Geologi Indonesia, gunung berapi itu telah mencatatkan sebanyak 1,079 letusan sejak 1 Januari serta mengeluarkan asap setinggi empat kilometer (2.5 batu) ke udara dalam letusan pada minggu lalu.
Letusan terbaharu berlaku pada Ahad, pukul 1.15 pagi waktu tempatan dan mengeluarkan asap dan abu setinggi 1.5 kilometer ke udara. Sebanyak 17 kali letusan direkodkan pada hari yang sama.
"Abu tersebut berwarna kelabu, dengan intensiti sederhana hingga tebal dan bergerak ke arah barat daya. Bunyi kuat kedengaran sehingga ke Pos Pemantauan Gunung Ibu," kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia telah menaikkan status amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi dan menggesa pemindahan 3,000 penduduk yang tinggal di enam buah kampung yang terletak berhampiran.
Pihak berkuasa tempatan berjaya memindahkan hanya 517 penduduk setakat hari Ahad dan berjanji untuk terus meyakinkan penduduk yang masih enggan berpindah untuk tinggal di tempat perlindungan selamat.
"Kami akan terus mendidik masyarakat dan menggalakkan mereka untuk berpindah," kata Ketua Tentera Daerah Ternate, Adietya Yuni Nurtono.
Ramai yang enggan berpindah, dengan alasan sudah biasa dengan situasi tersebut dan sedang berada dalam musim menuai.
Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu dan pelancong dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan dalam lingkungan lima hingga enam kilometer dari puncak gunung berapi dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri.
Sehingga tahun 2022, kira-kira 700,000 orang tinggal di Pulau Halmahera, menurut data rasmi.
Indonesia, sebuah kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik gunung berapi kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.
Pada November lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter di pulau pelancongan Flores, meletus lebih berpuluh-puluh kali dalam satu minggu, mengorbankan sembilan orang.
Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara pula meletus lebih daripada enam kali tahun lalu, memaksa ribuan penduduk dari pulau-pulau berhampiran berpindah.-AFP