BAITULMAQDIS, 19 Januari- Tentera Israel terus melancarkan serangan di Gaza, dengan alasan bahawa gencatan senjata dengan Hamas masih belum berkuat kuasa kerana kumpulan pejuang itu belum memberikan senarai tebusan yang akan dibebaskan.
"Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terus menyerang kawasan di Gaza pada masa ini.
"Menurut arahan Perdana Menteri, gencatan senjata tidak akan berkuat kuasa sehingga Hamas memenuhi komitmennya", kata jurucakap tentera, Daniel Hagari, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Sementara itu, rakaman AFP menunjukkan ratusan penduduk Gaza bersorak dan meraikan di bandar tengah Deir el-Balah, menjelang masa gencatan senjata dijangka berkuat kuasa. Ramai yang mengambil gambar dengan telefon bimbit, bertepuk tangan dan berpelukan antara satu sama lain.
Namun, kira-kira 30 minit kemudian, rakaman AFPTV menunjukkan kepulan asap tebal kelihatan di kawasan timur laut Gaza.
Sementara itu, tentera Israel menyatakan serangan dikawasan itu menyasarkan kumpulan Hamas di utara dan tengah Gaza.
Menurut laporan awal pasukan penyelamat Gaza, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan lebih 25 lagi orang cedera dalam serangan terbaharu Israel, selepas Israel berkata gencatan senjata ditangguhkan.-AFP
BERITA BERKAITAN: