fb fb fb fb fb

Global Big Day: Colombia kekal teraju kepelbagaian spesies burung dunia

Foto Reuters

BOGOTA, 12 Mei - Para peminat burung di Colombia menyertai Hari Pemerhatian Burung Antarabangsa yang berlangsung di bahagian barat laut negara itu dalam usaha meraikan dan mendokumentasikan kepelbagaian spesies burung di rantau berkenaan.

Colombia, yang diiktiraf sebagai negara paling kaya dengan kepelbagaian spesies burung di dunia, menempatkan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan spesies burung di peringkat global, menurut laporan Tabung Alam Sedunia (World Wildlife Foundation).

Acara tahunan itu dianjurkan pada Sabtu kedua bulan Mei setiap tahun, bertujuan untuk mengenal pasti spesies burung yang berhijrah masuk dan keluar dari negara itu.

“Kami mengadakan acara ini pada hari Sabtu kedua bulan Mei untuk melihat burung-burung yang telah memasuki dan meninggalkan negara ini,” kata Pedro Marin, seorang pelajar biologi dan pemandu pemerhatian burung di ekosistem Paramo del Almorzadero.

Hari Pemerhatian Burung Antarabangsa juga bersempena dengan Global Big Day, sebuah acara pemerhatian burung peringkat dunia yang menggalakkan para pemerhati burung dari seluruh dunia untuk keluar memerhati burung dan melaporkan penemuan mereka menerusi laman sesawang rasmi acara tersebut.

Acara tersebut bukan sahaja memupuk kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan habitat burung, malah turut menarik minat pelancong dan penyelidik dalam bidang biodiversiti.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN