MADRID, 18 September - Sepanyol akan membantu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di Gaza oelh regim Zionis Israel.
Langkah itu diambil peguam negara, Alvaro Garcia Ortiz dengan mengeluarkan arahan bagi menubuhkan pasukan khas untuk
mengumpul bukti perbuatan jenayah perang oleh tentera-tentera Israel.
Menurut satu kenyataan, pasukan tersebut akan bertanggungjawab mengumpul bukti berkaitan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Ia kemudian akan diserahkan kepada badan berwibawa, selaras komitmen Sepanyol terhadap kerjasama antarabangsa dan perlindungan hak asasi.
Arahan itu menyatakan bahawa segala bukti yang boleh dikumpulkan di Sepanyol, sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan jenayah di Gaza, mesti dihimpunkan dan boleh digunakan dalam siasatan kes ICC.
Mahkamah yang berpusat di The Hague sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Susulan itu, kedua-dua mahkamah telah dikritik hebat oleh Israel dan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan terhadap ICC Februari lalu, serta menuduh mahkamah itu telah menyalahgunakan kuasa.