WASHINGTON, 18 September - Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah penanda aras sebanyak 0.25 mata asas kepada julat 4.00 hingga 4.25 peratus, pemotongan pertama sejak Disember lalu.
Pengerusi Fed Jerome Powell berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap kelemahan pasaran buruh negara yang menyaksikan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan golongan minoriti, tempoh bekerja yang semakin pendek serta kelembapan pengambilan pekerja baharu.
"Walaupun kadar pengangguran kekal rendah, ia menunjukkan sedikit peningkatan. Pertambahan pekerjaan pula semakin perlahan dan risiko menurun terhadap pasaran kerja semakin meningkat. Pada masa yang sama, inflasi kembali meningkat dan masih berada pada tahap agak tinggi.
Bagi menyokong matlamat ini dan mengambil kira perubahan imbangan risiko, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini memutuskan untuk menurunkan kadar faedah dasar sebanyak suku mata peratus." katanya pada sidang media.
Jelas FOMC, pihaknya komited menyokong guna tenaga maksimum serta mengembalikan inflasi ke sasaran rasmi dua peratus, meskipun unjuran baharu inflasi dijangka kekal sekitar 3 peratus sehingga akhir 2025
Tambah beliau, FOMC akan mempertimbangkan sebarang pelarasan tambahan terhadap julat sasaran kadar faedah dana persekutuan dengan menilai data semasa, prospek ekonomi dan imbangan risiko.
Fed turut memberi isyarat, dua lagi pemotongan kadar faedah akan diumumkan pada mesyuarat Oktober dan Disember ini.