fb fb fb fb fb

Geng jenayah siber Lockbit diganggu oleh Britain, AS dan EU

Foto hiasan/REUTERS

LONDON, 20 Februari- Geng jenayah siber terkenal Lockbit yang memanipulasi data secara dalam talian untuk wang tebusan, telah terganggu dalam operasi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa yang dilakukan Agensi Jenayah Kebangsaan Britain, Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Europol dan gabungan polis antarabangsa, menurut satu hantaran di laman web kumpulan itu.

"Laman ini berada bawah kawalan Agensi Jenayah Kebangsaan UK, bekerjasama rapat dengan FBI dan pasukan petugas penguatkuasa undang-undang antarabangsa, ‘Operation Cronos’," kata hantaran itu.

Jurucakap NCA mengesahkan agensi terlibat telah mengganggu kumpulan itu berikutan operasi tersebut "berterusan dan berkembang".

Jabatan Kehakiman AS dan FBI tidak segera memberikan komen berkenaan perkara itu.

Hantaran itu turut menamakan organisasi polis antarabangsa lain dari Perancis, Jepun, Switzerland, Kanada, Australia, Sweden, Belanda, Finland dan Jerman.

Lockbit dan ahli gabungannya telah menggodam beberapa organisasi terbesar di dunia dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kumpulan itu membuat wang dengan mencuri data dan mengancam untuk membocorkannya sekiranya gagal membayar wang tebusan.

Ahli gabungan itu adalah kumpulan penjenayah yang direkrut untuk melancarkan serangan menggunakan alat peras ugut secara digital.

Ransomware ialah perisian berniat jahat yang mampu mencuri data.

Lockbit menjana wang dengan memaksa sasarannya untuk membayar wang tebusan untuk mengelakkan kebocoran data secara digital.

Lockbit ditemui pada 2020 dalam forum jenayah siber berbahasa Rusia. Perkara itu menyebabkan beberapa penganalisis keselamatan mempercayai kumpulan tersebut berpangkalan di Rusia.

Namun kumpulan tersebut tidak mengaku menyokong mana-mana kerajaan.

Lockbit telah mencecah lebih 1,700 organisasi dalam hampir setiap industri daripada perkhidmatan kewangan dan makanan kepada sekolah, pengangkutan dan jabatan kerajaan, telah menyifatkan kumpulan itu sebagai ancaman perisian tebusan teratas dunia.

Pada November tahun lalu, Lockbit menerbitkan data dalaman daripada Boeing salah satu kontraktor pertahanan dan angkasa lepas terbesar di dunia.

Dan pada awal 2023, Royal Mail Britain menghadapi gangguan teruk selepas serangan kumpulan itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI