fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Iran-Israel: Harga minyak susut, saham melonjak

Foto AFP

LONDON, 24 Jun - Harga minyak merosot dan pasaran saham melonjak pada Selasa, dalam situasi ketidaktentuan gencatan senjata Israel-Iran.

Dalam dagangan yang tidak menentu, niaga hadapan minyak mentah merosot lebih 5 peratus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata.

Pasaran minyak terus mengurangkan kerugiannya walaupun Israel dan Iran saling menuduh satu sama lain susulan melanggar gencatan senjata.

Meskipun ketegangan memuncak sekali lagi, harga minyak masih turun lebih 3 peratus menjelang dagangan awal petang di Eropah.

"Pelabur bertindak balas dengan lega terhadap berita yang jelas mengenai gencatan senjata antara Iran dan Israel," kata pengarah pelaburan AJ Bell Russ Mould.

"Emas merosot semula kerana sifat tempat selamatnya kurang mendapat permintaan," kata Mold, sambil menambah bahawa berita itu menjejaskan harga saham pengeluar minyak dan pelombong.

Dolar menurun berbanding pesaing utama selepas Trump sekali lagi menuntut Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah dalam usaha meningkatkan ekonomi terbesar dunia itu.

Ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat telah menghilangkan beberapa tumpuan terhadap perang tarif Trump, yang mengancam untuk melembapkan pertumbuhan ekonomi global.

Di Jerman, indeks saham DAX meningkat 1.9 peratus, justeru Canselor Friedrich Merz menggesa Iran dan Israel untuk patuh terhadap gencatan senjata yang diumum Trump.

"Kami menyeru Iran dan Israel untuk menyahut seruan daripada presiden Amerika ini," kata Merz kepada parlimen.

"Jika gencatan senjata ini berjaya maka ia akan menjadi perkembangan yang sangat positif sekaligus menjadikan Asia Barat dan dunia lebih selamat," katanya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron juga menyatakan bahawa keadaan di sekeliling Iran kekal "tidak menentu dan tidak stabil".

Terdapat kebimbangan bahawa Iran boleh menutup Selat Hormuz.

Bagaimanapun penganalisis Rystad Energy Jorge Leon menyatakan risiko menutup Hormuz kini telah berkurangan dengan cepat kerana ketegangan AS dan Iran sudah pun berakhir.

"Saya fikir ia lebih kepada apa yang berlaku hanya antara Israel dan Iran," hujah Leon.

NORAINI BINTI WAHIB