TEHRAN, 24 Jun - Iran menyatakan sekurang-kurangnya 610 orang terbunuh sejak permulaan perang dengan Israel pada 13 Jun lepas.
Manakala dianggar lebih 4,700 individu cedera di republik Islam itu.
"Sejak 12 hari lalu, hospital telah berhadapan dengan situasi yang amat mengerikan," kata jurucakap Kementerian Kesihatan Hossein Kermanpour menerusi aplikasi X pada Selasa.
Jumlah itu melebihi pengumuman awal Iran yang menyatakan lebih 400 orang maut dan 3,056 lagi cedera.
Sementara itu, ketika sidang media di Doha, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berkata tindakan Iran melancarkan peluru berpandu di pangkalan AS di Qatar pada Isnin "tidak boleh diterima".
Bagaimanapun, Qatar bertindak balas berdasarkan "diplomatik dan undang-undang".
"Serangan ke atas Qatar adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima, terutamanya bahawa Qatar telah melakukan usaha diplomatik yang hebat untuk meredakan keadaan," katanya.
Pada Isnin, Majlis Keselamatan Negara Iran mengesahkan menyasarkan pangkalan itu "sebagai tindak balas kepada tindakan agresif dan kurang ajar AS terhadap tapak dan kemudahan nuklear Iran".