PALESTIN, 7 Disember- Satu pusingan baharu perundingan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tahanan dijangka bermula minggu depan, menurut sumber yang rapat dengan delegasi Hamas.
"Berdasarkan komunikasi dengan perantara, kami menjangka perbincangan baharu akan diadakan di Kaherah minggu ini bagi membincangkan cadangan berkaitan gencatan senjata dan pertukaran tahanan," kata sumber itu yang meminta agar identitinya dirahsiakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Mesir, Qatar, Turki dan pihak lain sedang giat berusaha untuk menghentikan peperangan dan serangan pengganas Israel.
Qatar yang sebelum ini menghentikan usaha perantaranya, kini telah menyambung semula mediasi tersebut, menurut sumber rapat pada Khamis lalu.
Hamas melalui ahli biro politiknya, Bassem Naim menyatakan bahawa kumpulan itu bersedia menunjukkan kelonggaran untuk mencapai persetujuan dan melaksanakan perjanjian yang bakal dicapai termasuk menetapkan garis masa untuk pengunduran Israel dari kawasan utama di Gaza.
Perang di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah membunuh lebih 44,600 penduduk Palestin kebanyakannya orang awam, menurut data Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Israel pula mendakwa seramai 96 tahanan masih berada di Gaza. -AFP