BAITULMAQDIS, 19 Januari- Israel mengumumkan gencatan senjata bermula di Gaza pada 9.15 pagi, hampir tiga jam lewat daripada yang dijadualkan, susulan arahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, pada saat-saat akhir.
Dalam tempoh penangguhan tersebut, Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan serangan terbaharu Israel mengorbankan lapan penduduk Gaza.
Kenyataan dari pejabat Netanyahu, yang dikeluarkan kurang dari sejam sebelum gencatan senjata sepatutnya bermula pada 6.30 pagi menyatakan beliau telah mengarahkan tentera Israel bahawa gencatan senjata tidak akan bermula sehingga Israel menerima senarai tahanan yang akan dibebaskan.
Hamas menyifatkan penangguhan itu disebabkan masalah teknikal serta kerumitan situasi di lapangan dan pengeboman yang berterusan. Bagaimanapun, kira-kira pukul 10.30 pagi, Hamas mengeluarkan tiga nama wanita Israel yang akan dibebaskan hari ini.
Israel mengesahkan telah menerima senarai tersebut dan meneliti maklumat itu sebelum mengumumkan bermulanya gencatan senjata.
Rakaman AFPTV dari Gaza di bahagian timur laut menunjukkan kepulan asap kira-kira 30 minit selepas gencatan senjata sepatutnya berkuat kuasa, diikuti sekali lagi kira-kira 30 minit kemudian.
Dalam pada itu, tentera Israel memberitahu bahawa serangan terhadap kawasan di Gaza terus dilakukan mengikut arahan Netanyahu.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal berkata tiga orang terbunuh di utara wilayah itu dan lima di Bandar Gaza, termasuk 25 orang mengalami kecederaan.
Foto AFP juga menunjukkan penduduk Gaza yang terpaksa berpindah bergerak ke arah utara dari kawasan sekitar Bandar Gaza tempat mereka berlindung, mengangkat tangan tanda kemenangan.
Namun, ada yang melihat rancangan mereka untuk kembali ke rumah terganggu kerana penangguhan gencatan senjata.
"Saya sedang dalam perjalanan pulang bersama keluarga apabila kami mendengar bunyi pengeboman. Kami tidak dapat sampai ke rumah, situasinya berbahaya. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya rasa kecewa", luah Mohammed Baraka, 36.
Pertukaran awal tahanan itu menyaksikan tiga tebusan Israel dibebaskan dari tawanan sebagai pertukaran untuk kumpulan pertama tahanan Palestin. Seramai 33 tebusan akan dikembalikan dari Gaza semasa gencatan senjata fasa pertama selama 42 hari.
Di bawah perjanjian itu, ratusan tahanan Palestin akan dibebaskan dari penjara Israel.
Gencatan senjata ini bertujuan membuka jalan untuk mengakhiri lebih daripada 15 bulan konflik Israel-Hamas.
Rundingan perjanjian yang dicapai oleh perantara Qatar, Amerika Syarikat dan Mesir selepas berbulan-bulan rundingan dan berkuat kuasa menjelang pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS.-AFP