fb fb fb fb fb

Gempa Turkiye-Syria: Jumlah korban melebihi 25,000 orang

(Foto AFP)

KAHRAMANMARAS, 12 Februari- Pasukan penyelamat mengeluarkan bayi berusia dua bulan dan seorang wanita warga emas dari runtuhan pada Sabtu, lima hari selepas gempa bumi melanda Turki dan Syria, menyebabkan lebih 25,000 maut.

Berpuluh-puluh ribu petugas penyelamat tempatan dan antarabangsa masih menjelajah kawasan berhampiran walaupun cuaca sejuk yang menambah kesengsaraan jutaan penduduk yang kini sangat memerlukan bantuan.

Bagaimanapun, tentera Austria dan penyelamat Jerman menghentikan pencarian mereka selama beberapa jam di selatan Hatay, kerana faktor keselamatan dan pertempuran antara kumpulan tempatan.

Di bandar Antakya, seorang bayi berusia dua bulan dijumpai masih hidup, lebih lima hari selepas gempa itu, lapor agensi berita negara Anadolu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, wanita hamil enam bulan, serta seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan bapanya, adalah antara yang diselamatkan lima hari selepas gempa itu.


(Lebih 25,000 orang terkorban dalam gempa bumi di Turkiye dan Syria/AFP)

Di selatan Turkiye, keluarga berpegangan tangan antara satu sama lain dalam kesedihan di ladang kapas yang berubah menjadi tanah perkuburan, dengan mayat-mayat tiba untuk dikebumikan dengan pantas.

Tambah menyedihkan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 870,000 orang memerlukan segera makanan panas di seluruh Turkiye dan Syria. Di Syria sahaja, dianggarkan sehingga 5.3 juta orang mungkin telah kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, sempadan antara Armenia dan Turkiye dibuka buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun pada hari Sabtu untuk membolehkan lima trak membawa makanan dan air ke wilayah yang dilanda gempa bumi.

Agensi bencana Turki berkata, lebih 32,000 orang daripada organisasi Turkiye sedang giat mencari dan menyelamat. Selain itu, terdapat 8,294 penyelamat antarabangsa.

Bagaimanapun, askar Austria pada hari Sabtu menangguhkan operasi menyelamat di Hatay kerana "situasi keselamatan yang semakin teruk", kata jurucakap tentera kepada AFP.

Dua pengendali anjing kemudian meneruskan kerja-kerja di bawah perlindungan daripada tentera Turkiye.

Keputusan yang sama untuk menghentikan operasi menyelamat telah diambil di Jerman oleh Agensi Bantuan Teknikal Persekutuan (TSW) dan sebuah NGO dalam membantu mangsa bencana alam, ISAR Jerman, menurut jurucakap NGO.

"Terdapat lebih banyak laporan tentang pertempuran antara puak yang berbeza, tembakan juga telah dilepaskan," kata jurucakap ISAR Stefan Heine.

Pejabat hak asasi manusia PBB pada hari Jumaat menggesa semua mereka di kawasan yang terjejas tempat militan Kurdish dan pemberontak Syria beroperasi membenarkan akses kemanusiaan.

Ketua Pengarah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menaiki penerbangan yang penuh dengan peralatan perubatan dan kecemasan ke bandar Aleppo yang dilanda gempa pada hari Sabtu.

Tedros melawat kawasan yang rosak di bandar itu dengan tweet: "Saya sedih melihat keadaan yang dihadapi oleh mangsa yang terselamat dengan cuaca sangat sejuk dan akses yang sangat terhad kepada tempat tinggal, makanan, air, haba dan rawatan perubatan", katanya.

Kerajaan Syria berkata ia telah meluluskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dilanda gempa bumi, di wilayah Idlib. Satu konvoi dijangka berlepas pada hari Ahad.

Di Damsyik, Suleiman Khalil, seorang pegawai di kementerian pengangkutan, berkata 57 pesawat bantuan telah mendarat di lapangan terbang Syria minggu ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Majlis Keselamatan membenarkan pembukaan pusat bantuan rentas sempadan baharu antara Turkiye dan Syria.

Majlis itu akan bermesyuarat untuk membincangkan berkenaan Syria, mungkin awal minggu depan.

Turkiye berkata ia sedang berusaha membuka dua laluan baharu ke bahagian Syria yang dikuasai pemberontak.

Pegawai di negara itu berkata 12,141 bangunan sama ada musnah atau rosak teruk dalam gempa bumi itu.

"Kerosakan sudah dijangka, tetapi bukan jenis kerosakan yang anda lihat sekarang", kata Mustafa Erdik, seorang profesor di Universiti Bogazici yang berpangkalan di Istanbul.-AFP

Media Baharu