fb fb fb fb fb

Hampir 26 juta orang terjejas akibat gempa Turkiye-Syria: WHO

(Foto AFP)

GENEVA, 12 Februari- Hampir 26 juta orang terjejas akibat gempa bumi maut yang melanda Turkiye dan Syria minggu ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata berpuluh-puluh hospital turut musnah.

Ketika jumlah kematian akibat gempa meningkat melebihi 25,000, agensi kesihatan PBB melancarkan derma kilat pada hari Sabtu meminta AS$42.8 juta untuk membantunya menangani keperluan kesihatan dengan segera.

WHO yang telah mengeluarkan AS$16 juta daripada dana kecemasannya, sebelum ini berkata sehingga 23 juta orang terjejas.

Jumlah itu meningkat kepada hampir 26 juta orang dengan 15 juta orang terjejas di Turkiye dan hampir 11 juta orang terjejas di Syria.

Antaranya, lebih lima juta orang dianggarkan terdedah, termasuk hampir 350,000 warga emas dan lebih 1.4 juta kanak-kanak.

WHO menganggarkan di Turkiye, lebih 4,000 bangunan runtuh, sebanyak 15 buah hospital telah mengalami kerosakan sebahagian dan musnah dalam gempa tersebut.

Di Syria, sistem penjagaan kesihatan telah musnah akibat perang saudara selama 12 tahun, sekurang-kurangnya 20 fasiliti kesihatan di seluruh barat laut yang terjejas teruk termasuk empat hospital, telah mengalami kerosakan.

Ini menjadikan keadaan lebih sukar bagi membantu puluhan ribu orang yang cedera dalam bencana tersebut, sementara perkhidmatan perubatan kecemasan telah dibanjiri pesakit trauma, perkhidmatan kesihatan penting terjejas teruk, WHO memberi amaran.


(Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus
melawat kawasan gempa bumi di utara Aleppo/AFP)

Agensi PBB berkata terdapat keperluan untuk rawatan segera trauma, rawatan pemulihan selepas trauma, ubat-ubatan penting, pencegahan dan kawalan untuk mencegah wabak penyakit dan akses kepada sokongan kesihatan mental.

"Matlamat WHO adalah untuk menyelamatkan nyawa sejurus selepas bencana itu, untuk meminimumkan kesan kesihatan , termasuk kesihatan mental dan memulihkan perkhidmatan kesihatan penting dengan pantas merentasi semua populasi yang terjejas oleh gempa bumi.

Agensi itu menambah bahawa telah menghantar 37 tan metrik bekalan pembedahan kecemasan dan trauma dan ke Turkiye pada Khamis, manakala 35 tan metrik telah tiba di Syria pada Jumaat.

"Bekalan menyelamatkan nyawa ini akan digunakan untuk merawat dan menjaga 100,000 orang serta untuk 120,000 pembedahan segera di kedua-dua negara," katanya.

Penerbangan ketiga yang membawa muatan serupa dijadualkan tiba di Syria pada Isnin.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang tiba di Aleppo semalam, menulis tweet bahawa dia "sedih melihat keadaan yang dihadapi oleh mangsa yang terselamat, cuaca sejuk dan akses yang sangat terhad kepada tempat tinggal, makanan, air, haba dan rawatan perubatan". -AFP

Media Baharu