fb fb fb fb fb

Gempa Turkiye: Anjing tertimbus di sebalik runtuhan selama 23 hari ditemui selamat

ISTANBUL, 2 Mac - Seekor anjing berjaya diselamatkan selepas tertimbus di bawah runtuhan selama 23 hari berikutan kejadian gempa bumi di selatan Turkiye, bulan lalu.

Anjing baka Husky bernama Aleks berjaya ditarik keluar dari timbunan konkrit dan serpihan bangunan berhampiran Antakya di wilayah Hatay di Turkiye dan dihantar ke persatuan perlindungan haiwan Haytap di bandar Antakya.

Rakaman video agensi berita DHA menunjukkan penyelamat memanggil anjing terbabit sebelum mencapainya di antara runtuhan konkrit besar. 

Selepas pencarian selama sejam setengah, mereka berjaya menarik keluar anjing berkenaan dan menyatukannya semula dengan pemiliknya yang berada di tempat kejadian.

Di dalam video yang tular, Aleks ketika ditemui kelihatan terkejut dan lemah diberi makanan dan air.

Kisah menyelamatkan haiwan merupakan 'penawar' untuk negara yang dikejutkan dengan bencana alam terburuk dalam sejarah Turkiye.

Anggota mencari dan menyelamat sebelum ini telah menyelamatkan ratusan haiwan peliharaan yang terperangkap di Antakya sebuah bandar paling terjejas akibat bencana itu.

Gempa bumi itu mengorbankan lebih 45,000 orang  di Turkiye dan ribuan lagi di Syria, selain memusnahkan sepenuhnya ratusan ribu bangunan. - AFP

( Anjing baka Husky ditemukan selamat di bawah runtuhan selepas lebih tiga minggu gempa bumi melanda Turkiye/FOTO AFP)

Media Baharu