fb fb fb fb fb

Gempa kuat Indonesia, penduduk lari selamatkan diri

(FOTO REUTERS)

PADANG, 25 April- Gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter menggegarkan penduduk di pulau-pulau di barat Sumatera Indonesia pada Selasa, memaksa mereka melarikan diri ke kawasan lebih tinggi sebelum amaran tsunami ditarik balik.

Pusat gempa, yang melanda pada pukul 3.00 pagi, berada di laut berhampiran pulau Mentawai pada kedalaman 15.5 kilometer (lebih daripada 9 batu), kata Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan teruk dilaporkan.

"Gempa itu sangat kuat sehingga kami bergelut untuk berdiri dan berjalan di luar. Kami bergelut untuk keluar dari rumah, kami terpaksa berpegang pada dinding," kata Patriz Sanene, seorang penduduk Siberut berusia 34 tahun, Pulau terbesar Mentawai.

"Ini gempa paling kuat tahun ini. Saya fikir mungkin tsunami akan berlaku. Alhamdulillah tiada tsunami."

Agensi Geofizik Indonesia (BMKG) mengeluarkan amaran tsunami yang berlarutan kira-kira dua jam selepas pada mulanya melaporkan gempa lebih tinggi pada magnitud 7.3.

Ketua BMKG Daryono, memberitahu penduduk di kawasan berpotensi tsunami untuk bertenang dan mengelak daripada berada berdekatan pantai.

Terdapat beberapa gegaran susulan, tambahnya. Penduduk berkata mereka tersedar dengan gegaran itu, lalu bergegas keluar.

Sudarmono Siribere, 35, berkata dia dan keluarganya "terpaksa mengharungi hujan lebat untuk pergi ke tempat lebih tinggi".

Rakaman dikongsi dengan pemberita oleh agensi penyelamat BNPB tempatan menunjukkan penduduk memegang payung dan memakai baju hujan ketika mereka berjalan kaki untuk melarikan diri selain ada yang menaiki skuter.

Pegawai berkata, gempa itu turut dirasai di bandar Pantai Padang di barat Sumatera, iaitu sekitar 200 km dari pusat gempa.

Indonesia sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di "Ring of Fire" atau Lingkaran Api Pasifik, lengkok aktiviti seismik yang aktif di mana plat tektonik bertembung.

Pada tahun 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud melanda wilayah Aceh di pulau Sumatera, menyebabkan tsunami dan membunuh lebih 170,000 orang di Indonesia.-AFP


(FOTO METMALAYSIA)

Media Baharu