fb fb fb fb fb

Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Laut Banda, Indonesia

Foto Hiasan

JAKARTA, 8 November - Gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter melanda Laut Banda, Indonesia pada Rabu, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat, tanpa sebarang laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan untuk gempa itu yang pada mulanya dilaporkan sebagai magnitud 6.9 yang berlaku pada pukul 11:53 pagi waktu tempatan (0453 GMT), menurut USGS.

Gegaran itu dirasai sederhana di pekan Saumlaki di Kepulauan Tanimbar, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG).

"Gempa bumi itu agak kuat. Tetapi penduduk di sini tidak panik. Kami sudah biasa mengalami gempa bumi," kata penduduk Saumlaki, Lambert Tatang kepada AFP.

"Lebih-lebih lagi selepas kami mendapat tahu bahawa tiada ancaman tsunami, jadi kehidupan kini seperti biasa," kata lelaki berusia 41 tahun itu.

Indonesia sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di "Ring of Fire" Pasifik, sebuah arka aktiviti seismik yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.

Pada November tahun lalu, gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda wilayah Jawa Barat di kawasan yang berpenduduk ramai di pulau utama negara itu dan mengorbankan 602 orang.

Pada tahun 2004, gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter melanda pantai Sumatera dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh wilayah itu, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.- AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN