fb fb fb fb fb

Fenomena El Nino dijangka berlarutan sehingga April 2024 - PBB

El Nino ialah corak iklim yang berlaku secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, serta kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain / Foto Hiasan

GENEVA, 8 November - Fenomena cuaca El Nino, yang mencetuskan suhu global yang lebih tinggi, dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga April 2024, kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

El Nino ialah corak iklim yang berlaku secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, serta kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB berkata perkembangan El Nino semasa iaitu pada Julai hingga Ogos tahun ini, berkemungkinan akan berlarutan sehingga Januari.

"Terdapat 90 peratus kemungkinan ia akan berterusan sepanjang musim sejuk hemisfera utara / musim panas hemisfera selatan yang akan datang," kata WMO dalam kemas kini terbaharunya, sambil menambah bahawa ia (El Nino) dijangka berlangsung sekurang-kurangnya sehingga April.

Fenomena cuaca lazimnya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan ia biasanya meningkatkan suhu global dalam tahun selepas ia berkembang.

Namun, sementara sebahagian besar impak El Nino dijangka tidak akan dirasai sehingga 2024, WMO menekankan bahawa fenomena itu berlaku dalam konteks perubahan iklim yang pesat.

Pada masa itu, tahun terhangat pernah direkodkan ialah pada 2016, tahun selepas El Nino yang sangat kuat berkembang.

"Akibat rekod suhu darat dan permukaan laut yang tinggi sejak Jun, tahun 2023 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod," kata ketua WMO, Petteri Taalas dalam kenyataan dengan memberi amaran bahawa "tahun depan mungkin lebih panas."

“Ini jelas kerana sumbangan peningkatan kepekatan gas rumah hijau yang memerangkap haba daripada aktiviti manusia,” katanya.

"Peristiwa ekstrem seperti gelombang panas, kemarau, kebakaran hutan, hujan lebat dan banjir akan terus berlaku di sesetengah wilayah, dengan impak yang besar," tambah WMO sambil mengingatkan tentang kepentingan sistem amaran awal yang cekap.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN