fb fb fb fb fb

Gempa bumi 6.1 skala Richter landa Guatemala, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Foto Hiasan / Fail

BANDARAYA GUATEMALA, 27 Januari - Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda selatan Guatemala pada Jumaat.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda dilaporkan.

Gempa bumi itu berlaku pada 11.52 malam (0552 GMT), tujuh kilometer (empat batu) dari bandar Taxisco pada kedalaman 108 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).

Institut Seismologi Guatemala, yang mengukur gegaran sebagai 6.0 berkata ia dirasai di selatan negara itu, serta di bandar Warisan Dunia Unesco Antigua Guatemala, 45 kilometer barat daya di ibu kota Guatemala.

"Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan setakat ini", kata jurucakap perlindungan awam, Rodolfo Garcia kepada wartawan.

Tambahnya, pihak berkuasa sedang memantau keadaan di peringkat kebangsaan.

Guatemala sering dilanda gempa kerana lokasinya di tempat pertemuan plat tektonik Caribbean dan Cocos.

Menurut pihak berkuasa, 90 peratus daripada wilayah Guatemala terdedah kepada risiko berlakunya gempa bumi.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN