fb fb fb fb fb

Gempa bumi 6.1 magnitud gegar utara Sumatera

(Foto BMKG)

JAKARTA, 4 April- Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan bahagian barat daya utara Sumatera, Indonesia malam Isnin, hingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan setakat ini.

Berdasarkan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 84 kilometer Barat Daya Padang Sidempuan-Sumut di bahagian itu.

Gempa bumi dengan kedalaman 102 kilometer itu berlaku pada pukul 9.59 malam waktu tempatan.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia berkata, gempa kuat tersebut tidak berpotensi berlakunya tsunami dan tiada amaran dikeluarkan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan turut memaklumkan, gempa bumi terbabit tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia, namun gegaran mungkin dirasai di Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Indonesia mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di "Lingkaran Api" Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.

Pada 21 November, gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda wilayah Jawa Barat di pulau utama Indonesia, Jawa dan mengorbankan 602 orang. -AFP


(Foto hiasan)

Media Baharu