THESSALONIKI, 7 Jun – Satu gempa bumi berukuran 5.3 magnitud menggegarkan kawasan Mount Athos, pusat komuniti agama Ortodoks Greek di utara Greece, pagi Sabtu.
Institut Geodinamik Athens berkata, gempa itu berlaku di bawah laut dengan kedalaman sekitar 12.5 kilometer dan berpusat di barat laut ibu kota pentadbiran Mount Athos, Karyes.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba di Athens berkata, empat jentera bomba dikerahkan ke kawasan terjejas bagi memantau sebarang kemungkinan kerosakan.
Bagaimanapun, menurut pegawai tempatan di Karyes, tiada kerosakan dilaporkan setakat ini.
Mount Athos, atau dikenali sebagai Holy Mountain, merupakan pusat kerohanian Ortodoks yang telah wujud sejak tahun 1054 dari era Byzantin.
Kawasan itu menempatkan sekitar 20 buah tempat tinggal bersejarah penganut Kristian. - AFP