TEHRAN, 7 Jun - Sekurang-kurangnya 13 jemaah haji warga Iran dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji di Arab Saudi.
Menurut kenyataan Bahagian Operasi Kesihatan dan Rawatan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, jumlah kematian terkini telah mencecah 13 orang.
Bagaimanapun, punca kematian tidak dinyatakan secara terperinci.
Para jemaah dinasihati agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengelakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari dan minum air secukupnya bagi mengurangkan risiko strok haba.
“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu di kota suci di Arab Saudi meningkat sehingga 47 darjah Celsius, sehingga boleh menyebabkan strok haba yang serius dalam kalangan jemaah,” menurut laporan IRNA.
Untuk musim haji tahun ini, seramai 86,700 jemaah Iran telah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Tahun lalu, lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan haji, termasuk 22 warga Iran, apabila suhu mencecah 51.8 darjah Celsius.
Strok haba berlaku apabila sistem penyejukan semula jadi tubuh gagal berfungsi akibat suhu melampau.
Ini menyebabkan gejala seperti pening, sakit kepala, kegagalan organ, dan boleh membawa maut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menganggarkan sekurang-kurangnya setengah juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat cuaca panas. - AFP