fb fb fb fb fb

Thailand tugaskan pasukan tentera urus kawalan sempadan dengan Kemboja

Tentera Thailand / REUTERS

BANGKOK, 7 Jun- Thailand memberikan kuasa kepada dua pasukan petugas tentera utamanya untuk mengawal semua lintasan sempadan Thai-Kemboja di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di sepanjang sempadan.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata Panglima Tentera Diraja Thailand, Jeneral Pana Claewplodtook menandatangani perintah mewakilkan kuasa kepada komander Pasukan Petugas Burapha dan Suranaree bagi mengawasi pembukaan dan penutupan semua jenis lintasan sempadan di sepanjang sempadan Thai-Kemboja.

“Perintah itu juga memberi kuasa kepada mereka untuk menetapkan langkah-langkah, kriteria, prosedur serta syarat yang sesuai mengikut tahap keselamatan dan penguatkuasaan yang berbeza di setiap kawasan.

“Langkah ini penting untuk melindungi kepentingan Thailand dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti di sepanjang sempadan,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Perintah itu dibuat susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara pada 6 Jun, yang menugaskan Tentera Diraja Thai sebagai agensi utama untuk menguruskan lintasan sempadan.

Perintah itu juga menetapkan supaya semua agensi berkaitan mematuhi sepenuhnya peraturan yang dikeluarkan Tentera Diraja Thai.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perintah itu melalui laman sesawang rasmi Tentera Diraja Thai di www.rta.mi.th untuk kemas kini yang tepat dan boleh dipercayai.

Pada 28 Mei lalu, tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam satu pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, timur laut Thailand dan wilayah Preah Vihear di utara Kemboja, yang mengorbankan seorang askar Kemboja.

Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Berikutan ketegangan itu, kedua-dua negara bersetuju membincangkan isu ini melalui Suruhanjaya Sempadan Bersama yang dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 14 Jun.-BERNAMA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID