BEIJING, 9 Disember - Gelombang sejuk dijangka melanda sebahagian besar kawasan di China dari Rabu hingga Sabtu, menyebabkan penurunan suhu, angin kencang dan salji, menurut Pusat Meteorologi Negara (NMC) pada Selasa, lapor Xinhua.
Akibat kemasukan udara sejuk itu, wilayah barat laut negara itu dijangka mengalami penurunan suhu antara 12 hingga 14 darjah Celsius dalam tempoh berkenaan.
"Dalam tempoh empat hari akan datang, salji dijangka melanda barat laut China, utara China, Sungai Kuning dan Sungai Huai, serta beberapa bahagian Mongolia Dalam dan timur laut China, manakala angin kencang pula berkemungkinan melanda kebanyakan kawasan di utara China," kata NMC.
Pakar meteorologi memberi amaran kepada orang ramai agar mengambil langkah sewajarnya untuk kekal hangat dan memberi perhatian kepada keselamatan trafik apabila jalan licin dan jarak penglihatan rendah akibat hujan serta salji.
Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar bersama Pentadbiran Meteorologi China mengeluarkan amaran bersama, menyeru langkah diambil untuk menangani kemungkinan runtuhnya rumah hijau akibat tekanan salji serta risiko sayur-sayuran dan ternakan membeku di dalamnya. -BERNAMA-XINHUA